About Me

My photo
Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia
I'm cute and pretty with a sensitive heart which mean can cry easily.. :P

Wednesday, May 25, 2011

Bagaimana Tuhan telah mengubah hidup saya?


Tuhan sentiasa memberikan cobaan kepada umatnya, termasuklah dengan saya. Mahu saya katakan disini bahawa setiap kita ada masa yang kita kenali sebagai ‘zaman kegelapan’ di mana cobaan datang kepada kita dan kita tak mampu untuk melawannya. Ada ketikanya saya katakan Tuhan itu tidak adil, Tuhan itu berat sebelah kerana Dia memberikan saya cobaan demi cobaan sehingga ada satu saat saya tidak tahan untuk menghadapinya.

Peristiwa ini berlaku pada umur saya 13 tahun iaitu hampir 9 tahun yang lalu. Pada masa ini, keluarga kami dicobai dengan percobaan yang terbesar dalam hidup saya di mana rumah kami terbakar kerana litar pintas. Kami tinggal sehelai sepinggang, semua yang telah diusahakan oleh kedua ibu bapa saya hangus begitu sahaja, yang ada cuma 2 van kami. Namun saya tetap bersyukur kerana ada yang sudi memapah keluar datuk saya yang lumpuh dan adik-adik saya semuanya selamat. Tidak ada korban nyawa yang berlaku.

Selain daripada peristiwa ini, sekali lagi kami dicobai bila ibu saya mendapat tahu bahwa bapa saya mempunyai ‘mistress’. Hal ini sama seperti jatuh ditimpah tangga besi! Saya berasa sangat sedih melihat ibu saya yang begitu tabah menghadapi segalanya. Bapa saya sanggup berbelanja lebih untuk ‘mistress’nya berbanding untuk kami anak-anaknya, sehinggalah salah satu daripada van kami terpaksa dijual untuk menampung kos hidup kami, kerna gaji ibu sebagai guru pada masa itu tidak juga mampu menanggung keluarga besar kami.

Dua peristiwa ini betul-betul memberi kesan kepada saya, sebab saya nampak sendiri bagaimana ibu saya tabah untuk menghadapi semua ini, air mata dia yang mengalir tidak pernah dia tunjukkan kepada kami. Pernah satu saat, ibu katakan kepada saya bahawa dia sudah penat menghadapi semuanya, dia mau diceraikan, dia minta agar saya menjaga adik-adik saya yang masih kecil pada masa itu. Ini bukan kali pertama bapa saya buat seperti ini, tapi kali kedua. Saya sudah siap membincangkan siapa yang akan mengikuti ayah dan ibu lepas mereka bercerai kepada adik-adik saya. Walaupun saya tidak sanggup untuk hadapi perpisahan, tidak mustahil semua ini akan terjadi. Pada saat ini, hati saya sungguh membenci orang yang bernama ayah dan lelaki. Hal ini berterusan selama 2 tahun lamanya, dan makin lama semakin membeban diri saya. Saya tetap pergi ke gereja namun sukar untuk saya mengucapkan doa Bapa Kami, kerana belum ada pengampunan untuk bapa saya dalam diri saya.

Pada umur saya 16 tahun, saya mengikuti aktiviti Christian Fellowship di sekolah saya. Semasa sesi Adorasi yang dilakukan oleh Paderi Paroki (Rev. Fr. Alex Sipanul) dengan kerjasama sister Karmel dan Brother CSE dari Kaingaran, Tambunan, saya rasa seperti menerima sentuhan, pelukan dan cinta kasih Yesus Kristus. Saya sungguh tersentuh sehingga saya menangis bila saja saya mendengar sister berkata bahawa ‘Pada saat ini ada seorang gadis dalam lingkungan 15-16 tahun yang mempunyai masalah dengan bapanya, Yesus berkata kepadamu, Maafkanlah bapamu, jangan musuhi dia. Ampunilah segala kesalahan yang pernah dia lakukan kepadamu dan ibumu serta keluargamu. Terimalah pelukan cinta kasih daripada Yesus pada saat ini.’

Lepas sesi adorasi ini, saya nekad untuk menghadiri sesi kaunselling dengan sister Karmel. Saya menceritakan segalanya kepada sister itu, dia sarankan saya untuk bercakap terus terang kepada bapa saya sebaik saja sampai ke rumah. Tapi, tetap sukar untuk saya katakana kepada bapa saya. Bila saya memberitahu kepada ibu yang saya telah menerima kaunselling daripada sister Karmel, ibu memberikan saya petikan dalam Alkitab sebagai renungan – 1 Kor 13:1-13. Syukur Tuhan kerana ibu tidak nekad untuk bercerai pada masa itu dan bapa pun semakin berubah dari semasa ke semasa. Berdasarkan petikan Alkitab yang diberi oleh ibu, saya akhirnya meluahkan semuanya dalam Kad Selamat Hari Bapa ketika saya di matrikulasi. Saya berasa lega sesudah mengatakannya kepada bapa walaupun dalam kad tersebut, saya benar-benar rasa seperti ada sesuatu yang telah dicabut dari hati saya yang terbeban selama ini sehingga saya berasa ringan selepas itu.

Oleh itu, saya pun berubah sikap dari semasa ke semasa terhadap bapa saya. Memang benar saya sudah mengampuni dia, tapi tetap sukar bagi saya lupakan semua yang telah dia lakukan. Untuk itu, saya lebih kerap membaca Alkitab sebagai pedoman harian dan panduan hidup saya. Saya juga mendoakan Doa Santo Fransiskus Asisi – Jadikanlah Aku Pembawa Damai untuk lebih menyayangi sesama dan tidak lagi membenci orang lain.

Jadikanlah Aku Pembawa Damai

Tuhan, jadikanlah aku pembawa damaiMu.

Bila terjadi kebencian, jadikanlah aku pembawa cinta kasih.

Bila terjadi penghinaan, jadikanlah aku pembawa pengampunan.

Bila terjadi perselisihan, jadikanlah aku pembawa kerukunan.

Bila terjadi kebimbangan, jadikan aku pembawa kepastian.

Bila terjadi kesesatan, jadikanlah aku pembawa kebenaran.

Bila terjadi kecemasan, jadikanlah aku pembawa harapan.

Bila terjadi kesedihan, jadikanlah aku sumber kegembiraan.

Bila terjadi kegelapan, jadikanlah aku pembawa terang.

Tuhan, semoga aku lebih ingin menghibur daripada dihibur, memahami daripada difahami, mencintai daripada dicintai.

Sebab dengan member, aku menerima. Dengan mengampuni, aku diampuni.

Dengan mati suci, aku bangkit lagi untuk hidup selama-lamanya. Amen.

No comments:

Post a Comment